PENUTUP LUAR PAPARAN LCD | LCD DISPLAY OUTER LID

        Mari kita berkenalan dengan bahagian pertama perkakasan komputer riba yang sering menjadi identiti bagi setiap model yang dikeluarkan iaitu Penutup Luar Paparan LCD (LCD Display Outer Lid) yang menjadi badan paling luar di bahagian atas komputer riba. Sebelum kita teruskan, komputer riba  boleh dikatakan terdiri dari dua bahagian utama iaitu bahagian paparan dan bahagian pemprosesan. Jadi di manakah kedudukan penutup luar ini? Tepat sekali, ia berada di bahagian paparan.

        Ia berfungsi sebagai pelindung, memberikan personaliti dan kosmetik kepada komputer riba yang dihasilkan. Boleh dikatakan iai menjadi penutup atas bagi perumah untuk unit paparan LCD / LED, Kamera Web (Webcam), Antena Sambungan Tanpa Wayar (Wifi Antenna) dan juga Inverter bagi kebanyakkan model LCD yang lama.

        Bahagian ini sering diperbuat daripada bahan plastik ataupun aluminum dan pastinya akan ditempa bersama logo pengeluar. Dan lebih menarik lagi, terdapat logo yang dilengkapi dengan cahaya LED bagi memberi lebih nilai eksklusif terutamanya bagi komputer bimbit permainan (gaming). Bagi variasi yang lain, pengguna berimej korporat dan lebih serius cenderung diberikan warna perak, kelabu dan hitam. Bagi pengguna santai dan pelajar pula lebih banyak varian warna disediakan untuk memberi lebih pilihan citarasa.

        Berikut adalah imej logo bagi pengeluar-pengeluar utama komputer riba yang bakal anda temui di atas penutup luar komputer bimbit yang terdapat di pasaran.